Internet Mudah Alih

>> Monday, December 22, 2008



ERA digital dan globalisasi yang kita tempuh sekarang meletakkan Internet begitu kritikal hingga menjadikannya seolah-olah sebahagian daripada gaya hidup sehari-hari tidak kiralah sama ada untuk bekerja, berhibur atau bermain.

Capaian Internet lebih banyak dilakukan di pejabat atau di rumah, namun tidak kurang pula yang mencapainya dari mana saja kerana ia boleh dicapai dengan kaedah penyambungan berwayar atau tanpa wayar.


Alat capaiannya pula kini tidak terhad kepada komputer peribadi (PC) desktop saja, malah PC notebook semakin popular penggunaannya, dan kini ditambah pula dengan PC mini notebook dan telefon bimbit yang biasa atau yang pintar.

Sememangnya maklumat adalah sesuatu yang amat kritikal kerana apabila keperluannya mendadak, maka ia perlu diperoleh dengan cepat tanpa mengira di mana kedudukan kita ketika itu.

Begitu juga dengan perhubungan komunikasi yang mana keperluannya amat mendesak dan kini ia boleh dimanfaatkan menggunakan telekomunikasi talian tetap, selular (tanpa wayar), mel elektronik (e-mel) dan sebagainya.

Apabila kita bercakap mengenai capaian Internet secara tanpa wayar, ia sebenarnya membabitkan beberapa kemudahan sedia ada seperti WLAN, Wi-Fi, 3G, HSPA dan WiMAX.

Begitu juga dengan penyediaan perkhidmatan jalur lebar sama ada secara berwayar atau tanpa wayar yang dilihat masih terlalu terhad di kawasan tertentu saja, sedangkan keperluannya seharusnya meliputi keseluruhan kawasan agar semua orang dapat menikmatinya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Telenor ASA, Jon Fredrik Baksaas, berkata Internet mudah alih adalah satu segmen besar yang masih perlu secara menyeluruh dan ia pastinya menjadi salah satu unsur pelengkap dalam kehidupan kita sehari-hari.

“Internet mudah alih merupakan satu anjakan besar yang perlu diperhalusi sebaik mungkin kerana kita perlu sedar akan potensinya yang boleh menjana pelbagai keuntungan apabila benar-benar dimanfaatkan,” katanya.

Jumlah penduduk dunia ketika ini dianggarkan kira-kira 6.7 bilion orang dan kadar penembusan jalur lebarnya hanyalah kira-kira lima peratus, manakala hanya 20 peratus saja menggunakan Internet.

Menurut Baksaas, 80 peratus daripada penduduk dunia itu tidak mempunyai capaian langsung kepada sebarang sistem telekomunikasi talian tetap dan itu membuktikan dengan jelas bahawa permintaan terhadapnya terlalu tinggi.

“Potensi menghubungkan bagi ramai lagi penduduk dunia yang belum terhubung itu amatlah besar, namun cabarannya juga besar. Kita harus sedar bahawa mereka perlukan produk dan perkhidmatan yang bermutu tinggi serta mampu dijadikan sandaran,” katanya lagi.

Daripada berbilion penduduk dunia itu pula, kira-kira 60 peratus tiada capaian kepada perkhidmatan kewangan, nisbah pegawai perubatan berbanding penduduk pula ialah 142 kepada 100,000 orang, manakala 78 peratus penduduk tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Menurut Baksaas, kesemua statistik itu menunjukkan lagi potensi besar Internet mudah alih yang diyakini mampu mengatasi pelbagai cabaran itu.

Teknologi yang ada ketika ini, diperkuat pula dengan pelbagai kandungan yang sudah didigitalkan, pasti mampu mengubah statistik itu kerana banyak perkhidmatan boleh disediakan dengan adanya Internet mudah alih.

Bagi pihak penyedia perkhidmatan pula, banyak ruang boleh diteroka untuk menjana keuntungan dari penyediaan inovasi-inovasi perkhidmatan yang disediakan seperti kesihatan, kerajaan, pendidikan, perbankan dan hiburan multimedia.

“Antara perkhidmatan yang boleh disediakan termasuk perkhidmatan kewangan, perkongsian capaian kandungan, perkhidmatan berkaitan kesihatan dan perkhidmatan di antara mesin ke mesin,” kata Baksaas.

Kata beliau, Telenor yang berpangkalan di Norway memiliki banyak sejarah kecemerlangan dengan beberapa unsur penting dalam menyediakan perkhidmatan yang mana semestinya perkhidmatan itu mudah digunakan, kadar caj yang amat telus, ruang liputan mestilah menyeluruh dan sistem rangkaian yang kukuh untuk dijadikan sandaran.

Sementara menurut Ketua Asia, Kumpulan Telenor, Sigve Brekke, strategi yang dimainkan oleh penyedia perkhidmatan mestilah betul terutama di negara-negara yang memiliki budaya kehidupan unik.

“Penyedia mestilah mampu mencipta kaedah berlainan untuk memastikan kehendak atau keperluan pengguna berlainan budaya itu mampu dipenuhi dengan tahap kepuasan yang tinggi.”

“Pasaran di Malaysia tidak terkecuali, ia agak unik dan sasaran pasaran mestilah tepat untuk memacu pasaran. Pembangunan perkhidmatan baru mestilah berasaskan kajian pengguna kerana jika dilihat dari segi kadar penembusan pengguna rangkaian telekomunikasi mudah alih yang hampir mapan,” katanya lagi.

Mengenai perkhidmatan jalur lebar di Malaysia, Sigve berkata masih banyak peluang boleh diteroka dan gaya guna penggunanya adalah pelbagai. Ada yang menggunakan telefon bimbit dan ada juga yang menggunakan komputer notebook sebagai peranti capaian.

Telenor yang memiliki hubungan langsung dengan DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi), penyedia perkhidmatan terkemuka tempatan, sudah mempunyai pelan tertentu untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar atau Internet mudah alih di atas rangkaian generasi ketiga (3G), HSPA atau EDGE yang memang sudah pun ditawarkan ketika ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Johan Dennelind, DiGi akan belajar dari Telenor mengenai rangkaian 3G dan dijangka mula menawarkan perkhidmatan berasaskan rangkaian jalur lebar itu tahun depan.

Pengguna di negara ini sudah matang dan perkhidmatan data mudah alih menjadi kian kritikal yang diperlukan di mana saja mereka berada.

“DiGi akan mementingkan penyediaan jalur lebar di kawasan luar bandar selepas mendapat kepercayaan dan saranan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.

Apabila Internet mudah alih itu benar-benar menjadi realiti di negara ini atau di negara mana sekali pun, ia sudah pasti mendatangkan manfaat besar kepada pengguna pada keseluruhannya.

Setiap pengguna dapat memaksimumkan produktiviti kerana kita dapat mencapai maklumat atau aplikasi di mana saja dengan kadar memindahkan data yang lebih laju.

Dalam pada itu, ia juga membolehkan kita untuk terus berhubungan dan berkongsi data tidak kira di mana kita berada asalkan ada ruang liputan rangkaian jalur lebar mudah alih itu. Kita juga tidak perlu mencari hotspot lagi untuk mendapatkan capaian.

Apa yang penting kita beroleh manfaat telekomunikasi dari satu sambungan tunggal sama ada untuk data atau suara dalam keadaan yang paling selamat.

0 comments:

Post a Comment

Resources Blogs
Top  blogs

  © Blogger template Socolatajuz by Rahman Bashri 2011

Back to TOP